Soalan & Salah Faham Terhadap Islam
8. Takdir Syurga / Neraka
Persoalan detail: Di dalam Islam, setiap manusia telahpun ditakdirkan nasibnya sama ada akan ke syurga ataupun ke neraka. Maka ini adalah suatu perkara yang amat tidak adil kepada yang ditakdirkan akan ke neraka.
13:11 “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”
85:16 “Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakiNya”
Allah tidak jadikan makhluknya seperti “Robot”.
Allah memilih untuk memberi kebebasan (dari segi kemampuan atau ability) kepada makhlukNya untuk berfikir, dan juga kebebasan (dari segi kemampuan atau ability) melakukan apa-apa yang dihajati makhluk itu. Sememangnya Allah mampu mentakdirkan (menentukan, mengawal) setiap gerakan pada setiap detik kepada setiap makhlukNya sejak mula hidup hingga ke mati, dan menjadikan setiap makhlukNya umpama Robot, tetapi Allah memilih untuk memberi kebebasan tadi.
Faculty of Intellect.
Di samping kebebasan yang diberikan, Allah juga membekalkan kita dengan Faculty of Intellect supaya manusia membuat pilihan.
14:22 “Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: "…dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri…”
Syaitan sendiri akui semasa hari kiamat nanti, bahawa dia tidak berkuasa untuk pengaruhi manusia. Dia hanya menggoda, tetapi manusia yang memilih sama ada untuk mengikut atau sebaliknya.
4:40 “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali aniaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan digandakannya…”
Manusia sentiasa berpeluang mendapat ganjaran di sisi Allah dalam semua amalan baik yang dilakukan biarpun kebaikan itu adalah perkara kecil. Maka peluang menukar takdir kepada yang lebih baik sentiasa terbuka.
9. Kenapa Cipta Neraka?
Persoalan detail: Tuhan itu zalim. Kenapa Dia perlu mencipta neraka untuk menyeksa manusia?
Keampunan dari Allah lebih besar daripada kesalahan manusia.
39:53 "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa”
4:48,116 Hanya syirik tidak diampunkan
25:70 Kejahatan diganti kebaikan jika bertaubat dan amalkan kebaikan.
{Dalam 39:53, perkataan “hamba-hambaKu” menunjukkan ia dituju kepada golongan Muslim, tetapi dalam 4:48,116 Allah menyatakan kepada semua manusia sama ada Muslim ataupun non Muslim}
Seseorang menjadi kafir hanya selepas menolak petunjuk yang jelas mengenai kebenaran Islam.
17:15 Tanggungjawab diletak selepas seseorang telah melihat dan mendengar petunjuk
Semua manusia sama ada Muslim ataupun non Muslim tidak boleh menyalahkan syaitan di atas dosa masing-masing.
14:22, 15:39-40, 16:99 Syaitan tiada kuasa, ia cuma goda, tapi manusia putuskan
Peluang mendapat ganjaran pahala dan kebaikan adalah amat luas. Hanya dengan niat mahu melakukan kebaikan, ganjaran pahala sudahpun diberi. Malah kebaikan yang sedikit dan kecil itu akan digandakanNya. Tetapi dosa akan diberi setelah kesalahan dilakukan. Itupun Allah amat mudah untuk mengampunkannya.
4:40 “…Dan kalaulah (amal seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan digandakannya…”
Allah tidak berhenti memberi keampunan kecuali kita berhenti meminta ampun! Walaupun begitu, Allah masih boleh mengampunkan jika Dia kehendaki.
Maka peluang mengelak diri daripada memasuki neraka sebenarnya amat luas terbentang. Tetapi manusia sendiri yang kerap mengabaikan petunjuk, melepaskan peluang kebaikan dan meletakkan nafsu melebihi akal dalam kehidupan mereka. Oleh itu, memang layaklah bagi golongan seperti ini dihukum di dalam neraka.